Aku dibesarkan dalam keadaan serba sederhana.Tidak mewah tapi tidak terlalu susah.Ayah mampu sediakan segala keperluan tanpa masalah. Aku cemerlang di sekolah rendah. Tergolong dalam pelajar sepuluh teratas(top ten). Aku sambung pelajaran menengah disekolah berasrama penuh. Sikap peramah yang diwarisi dari ayah membuatkan ramai suka berkawan dengan aku. Malah di Universiti juga aku berkawan dengan ramai orang yang punyai latar belakang, cara hidup yang bermacam-macam. Namun aku tetap dengan cara dan pendirian aku, kesan dari didikan ayah. Aku tak mudah terpengaruh dengan persekitaran dan juga perangai teman-teman. Walaupun aku terbang ke luar negara, aku tetap sama dan aku bangga. Pasti ayah juga bangga punya anak yang tahu menjaga diri walau tercampak jauh dari negara sendiri.
Pulangnya aku dengan segenggam azam, mendapatkan pekerjaan dan membina masa depan yang cemerlang. Dalam aku asyik memohon pekerjaan, tanpa diduga ayah diserang strok.Dari seorang yang bersemangat tinggi, kuat bekerja menyara keluarga, ayah jadi lemah tidak bertenaga.Semua pergerakan perlu dibantu, setiap saat kami meniup kata-kata semangat agar ayah terus hidup dengan ceria dan dapat menerima ketentuanNya. Aku ketepikan segala impian, ingin lihat ayah kembali sihat,kembali bersemangat meneruskan hidup. Selepas setahun merawat ayah akhirnya aku mendapat tawaran kerja dengan gaji yang sederhana. Aku tahu aku takkan hidup mewah bergaya dengan gaji yang tak seberapa namun aku tetap bersyukur dengan rezeki yang Dia beri. Lebih dari cukup untuk menyara diri sendiri, hidup di bandar kecil yang taraf hidup tidak terlalu tinggi dan berada dekat dengan keluarga.
Aku tak pernah memikirkan dengan siapa aku akan membina keluarga ketika itu selepas aku disakiti oleh seseorang yang pernah singgah dalam hidup aku. Mengajar aku bagaimana untuk menyayangi, memberi peluang untuk aku tahu bagaimana rasa disayangi. Aku tak pernah menyalahkan sesiapa kerana aku yakin dengan takdir Yang Maha Esa. Jodoh itu ketentuanNya jua.
Selepas tiga tahun bekerja,akhirnya aku ditemukan jua olehNya dengan seseorang yang sememangnya berbeza latar belakang dan segalanya. Aku cuba untuk menyesuaikan diri,meletakkan keinginan diri ditempat kedua. Cuba memahami dan mempelajari sesuatu yang baru,aku hanya manusia biasa yang perlukan masa untuk berubah dan belajar untuk mengalah. Aku memendam segala keinginan, aku belajar mencari kekuatan. Ada masa aku kuat, ada masa aku rebah. Namun aku tak akan pernah mengalah. Pasrah untuk teruskan kehidupan, tidak pernah mengalah untuk mengejar sebuah kebahagiaan. Memang sukar menjadi pengemis cinta yang tegar.
Anak-anak menjadi sebab untuk aku terus kuat. Aku yakin Dia Maha Tahu.... (to be continued)
No comments:
Post a Comment